Kenapa Perlu Hafazan yang Kemas dan Mantap?
Dalam satu sesi kelas, saya berkongsi kepada para pelajar bahawa saya sedang komited membuat pengulangan hafazan.
Jika panjang umur dan direzekikan, insyaa allah berhajat untuk menyambung hafazan syahadah al-Quran.
Ini bukanlah keputusan yang saya buat secara tiba-tiba, bahkan ia telah saya niatkan sejak sebelum saya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran lagi.
Saya pernah berdoa dan berazam agar saya dapat menyempurnakan hafazan syahadah ini sebelum ajal menjemput.
Soalan yang sering diajukan kepada saya: "Kenapa nak sambung syahadah al-Quran?"
Jawapan yang membuatkan saya selalu muhasabah diri, bukan kerana mengejar nama atau gelaran.
Saya mahu mereka sendiri merenung dan bermuhasabah tentang nilai sebenar hafazan al-Quran dalam kehidupan sebagai penghafal al-Quran.
1. Melupakan Kerana Lalai, Cuai & Sibuk Dengan Dunia
Hadis Riwayat Abu Dawud (no. 1474):
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: "عُرِضَتْ عَلَيَّ ذُنُوبُ أُمَّتِي، فَلَمْ أَرَ ذَنْبًا أَعْظَمَ مِنْ سُورَةٍ مِنَ الْقُرْآنِ، أَوْ آيَةٍ أُوتِيَهَا رَجُلٌ، ثُمَّ نَسِيَهَا"
Maksudnya: "Diperlihatkan kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak melihat satu dosa pun yang lebih besar daripada seseorang yang diberikan (menghafal) satu surah atau satu ayat dari al-Qur'an, lalu dia melupakannya."
📚 [Riwayat Abu Dawud, no. 1474. Dinilai hasan oleh al-Albani]
Maksud dan Pengajaran Hadis:
Hadis ini menunjukkan melupakan hafazan al-Qur’an (disebabkan lalai dan tidak mengulang) adalah satu dosa besar.
Allah tidak menyukai orang yang diberi nikmat menghafal, tetapi mensia-siakan hafazannya.
Ia bukan sekadar lupa biasa, tetapi yang dimaksudkan ialah melupakan tanpa usaha untuk menjaga atau mengulanginya.
Perbezaan: Lupa Semulajadi vs Lalai
Ulama membezakan antara:
- Lupa kerana faktor semulajadi (contoh: usia, kesihatan) : tidak berdosa jika disertai usaha menjaga hafazan.
- Lupa kerana cuai, tidak mengulang, sibuk dengan dunia : inilah yang diperingatkan dalam hadis.
Rujuk sini : Hukum Terlupa Hafazan Al-Quran
Nas Al-Quran yang Selari (peringatan umum):
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”
— Surah al-Hasyr (59:19)
Walaupun ayat ini umum, ia menjadi peringatan keras agar tidak melupakan tanggungjawab terhadap agama termasuk menjaga hafazan al-Qur’an yang telah diamanahkan kepada diri kita.
🔹 Melupakan hafazan al-Qur’an adalah dosa besar, jika berlaku kerana kelalaian.
🔹 Penjagaan hafazan memerlukan istiqamah dan mujahadah.
🔹 Hadis menunjukkan betapa beratnya amanah menjadi penghafaz al-Qur’an.
2. Ketika Tua atau Sakit : Apa Lagi yang Tinggal?
Akan tiba satu masa dalam hidup kita samada ketika usia lanjut atau saat diuji dengan sakit yang menyebabkan tubuh tidak lagi mampu bergerak aktif.
Apa yang akan menjadi hiburan jiwa ketika itu? Tiada!
Tiada lagi kebebasan, tiada lagi aktiviti yang menyeronokkan.
Yang tinggal hanyalah rutin kehidupan yang telah dilatih sejak awal, menjadi tabiat yang membentuk jiwa dan kekuatan dalaman.
Membaca al-Quran secara tilawah tidak sama nikmatnya dengan membaca secara hafazan.
Pengalaman peribadi saya yang istiqamah membaca secara tilawah 1-2 juzuk sehari sejak 25 Oktober 2016 hingga hari ini (30 Julai 2025) menunjukkan perbezaan yang sangat ketara.
Tilawah (baca tengok) 1 juzuk biasanya mengambil masa 20–30 minit. Kadangkala terasa tidak sabar untuk menghabiskannya, bahkan sering mengira baki muka surat yang tinggal.
Namun membaca secara hafazan yang lancar terasa sangat berbeza. 1 juzuk terasa ringan je dan keinginan untuk menyambung ke muka surat seterusnya muncul tanpa dipaksa.
3. Kehidupan yang Sangat Sibuk
Dalam keadaan saya sekarang, mengurus dua perniagaan dan dalam masa yang sama menyambung pengajian, jadual harian sangat padat. Duduk membaca 2–3 juzuk sambil bersila di atas sejadah setiap hari menjadi cabaran yang besar.
Jadi, bilakah masa untuk mengulang hafazan?
Jawapannya: di mana sahaja dan bila-bila masa samada semasa memandu, semasa menunggu, dalam perjalanan.
Jika orang lain memilih mendengar radio semasa memandu, saya juga begitu cuma radio hanya akan dipasang selepas saya selesai mengulang hafazan saya.
Namun, realitinya ialah tidak semua juzuk saya masih kukuh. Ada bahagian yang sudah menjadi rapuh meskipun saya masih membacanya secara tilawah minimum 1 juzuk setiap hari tanpa tinggal.
Impian saya dalam dunia perniagaan amat besar, dan kesibukan yang saya alami sekarang ini mungkin akan bertambah suatu hari nanti.
Maka sebelum ia menjadi lebih mencabar, saya perlu:
(a) Melatih diri untuk mengulang hafazan di mana-mana sahaja, tidak kira dalam apa keadaan sekalipun.
(b) Menyempurnakan hafazan sehingga benar-benar mantap, agar suatu hari nanti saya boleh khatam al-Quran setiap bulan secara hafazan.
4. Mencapai Kesempurnaan Hafazan
Ini adalah sebab paling utama.
Semakan hafazan syahadah tidak sama dengan semakan hafazan biasa.
- Hafazan biasa: Seorang guru menyemak beberapa orang pelajar.
- Hafazan syahadah: Seorang pelajar disemak oleh beberapa orang guru, yang juga merupakan penghafaz syahadah.
Saya pernah menjadi guru hafazan. Pengalaman mengajar membuktikan hakikat bahawa adakalanya kita tidak fokus.
Mendengar bacaan pelajar pertama, tetapi terlepas memberi perhatian pada bacaan pelajar kedua.
Kadang-kadang juga, mata menjadi berat, dan kita terlelap ketika pelajar membaca. Ini realiti yang tidak boleh dinafikan.
Dek kerana kesedaran inilah saya membuat keputusan untuk menyambung syahadah dengan niat yang sangat jelas:
"Aku mahu menyempurnakan syahadah ini sebelum aku mati."
Kenapa sebelum mati?
Kerana saya ingin hafazan ini menjadi saksi di akhirat kelak.
Comments
Post a Comment