Khas Buat Penghafal al-Quran: Tilawah Setiap Hari Pun Masih Boleh Lupa
Menghafal al-Qur’an bukan sekadar menamatkan 30 juzuk atau menyelesaikan tasmi’ di hadapan guru. Ia bukan titik akhir dan penamat, tetapi satu permulaan kepada amanah besar yang terpikul sepanjang hayat.
Setelah seseorang itu khatam hafazan, tanggungjawab terhadap al-Qur’an belum tamat. Sebaliknya, ia menjadi perjanjian jiwa dan akal untuk menjaga bukan sahaja hafazan, bahkan bacaan, pemahaman, dan penghayatan terhadap isinya. Menghalalkan apa yang Allah halalkan, dan mengharamkan apa yang Allah haramkan.
Al-Qur’an adalah Amanah yang Dijaga oleh Allah
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hijr:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Dzikr (al-Qur’an), dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya.”
— (al-Hijr: 9)
Ayat ini menjadi asas bahawa Allah sendiri memelihara al-Qur’an dan antara bentuk pemeliharaan itu ialah melalui para huffaz dan ulama. Maka, sesiapa yang telah menghafalnya menjadi sebahagian daripada sistem penjagaan ilahi ini dan memikul amanah yang sangat mulia.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Perumpamaan orang yang menghafal al-Qur’an adalah seperti pemilik unta yang terikat. Jika dia menjaganya, dia akan memeliharanya. Jika dia membiarkannya, ia akan terlepas.”
(Riwayat al-Bukhari)
Nabi SAW menggambarkan hafazan al-Qur’an seperti unta liar, ia akan lari jika tidak diikat dan dijaga dengan rapi. Hafazan juga begitu, tanpa mujahadah yang konsisten, perlahan-lahan ia akan hilang tanpa diminta.
Tilawah Setiap Hari Pun Masih Boleh Lupa!
Realiti yang sering berlaku walaupun seseorang itu membaca al-Qur’an secara tilawah setiap hari, hafazannya tetap lupa.
Sebahagian penghafal berasa kecewa dan hairan dengan fenomena ini. Namun, ini bukan semata-mata kelemahan memori dan ingatan, tetapi tanda bahawa hubungan kita dengan al-Qur’an tidak boleh hanya sekadar lisan. Ia mesti disertai dengan hati yang hidup, ruh yang terikat, dan niat yang ikhlas.
Wasiat Guru: 5 Juzuk Tilawah Sehari
Guru kami pernah berpesan selepas seseorang tamat menghafal 30 juzuk, dia perlu membaca al-Qur’an secara tilawah sekurang-kurangnya 5 juzuk setiap hari. Jika tidak mampu 5 juzuk, minimum 1 juzuk sehari wajib dibaca.
Sebenarnya, 1 juzuk sehari belum cukup untuk kekalkan hafazan 30 juzuk. 1 juzuk hanya cukup untuk penghafal 1 juzuk sahaja.
Saya pernah berkongsi perkara ini kepada seorang sahabat yang juga penghafal al-Qur’an dan telah menyelesaikan syahadah. Beliau juga menerima wasiat yang sama daripada gurunya, tetapi dengan satu tambahan:
"Jika hanya mampu baca satu juzuk sehari, maka baca secara hafazan, bukan tilawah biasa. Dan hafazan terbaik adalah hafazan dalam solat."
Hafazan Bukan Sekadar Ingatan, Tetapi Kehidupan
Menjaga hafazan bukan sekadar ulang suara. Ia adalah perjuangan hati untuk terus hidup dengan al-Qur’an, dalam bacaan, dalam amal, dan dalam doa. Al-Qur’an akan ‘meninggalkan’ orang yang tidak menjaganya.
Oleh itu, lupanya hafazan walaupun sudah bertilawah setiap hari bukanlah kegagalan, tetapi peringatan agar hubungan kita dengan al-Qur’an tidak terhenti di bibir, tetapi terus mengalir ke dalam kehidupan.
Kesimpulan yang Dapat Dipelajari
- Hafazan adalah amanah dan amanah perlu dijaga dengan disiplin.
- Bacaan tilawah sahaja tidak mencukupi untuk kekalkan hafazan 30 juzuk.
- Wasiat guru: Baca 5 juzuk tilawah sehari, atau sekurang-kurangnya 1 juzuk secara hafazan.
- Hafazan paling kuat adalah dalam solat.
Comments
Post a Comment