Tareqat Dan Wirid Bagi Penghafal Al-Quran Adalah Bacaan Dan Hafazan Al-Quran
Penghafal al-Qur’an memiliki jalan ibadah yang unik dan tersendiri.
Berbeza dengan amalan tareqat atau zikir yang berstruktur dalam dunia tasawuf, jalan spiritual seorang huffaz tidak semestinya melibatkan wirid-wirid tertentu atau tareqat khusus.
Bagi mereka, al-Qur’an itu sendiri adalah tareqat dan wirid paling agung.
Bacaan, pengulangan hafazan, serta penjagaan terhadap Kalamullah, inilah mujahadah harian mereka.
Inilah laluan rohani yang menyucikan hati, mendidik nafsu, dan menghubungkan diri kepada Allah secara langsung.
Setiap huruf yang dibaca adalah zikir.
Setiap ayat yang diulang adalah doa.
Setiap surah yang ditekun menjadi cahaya kehidupan.
Nasihat Guru Hafazan
Saya pernah bertemu dengan guru hafazan saya, Ustaz Nazri Ibrahim. Saya masih ingat, ketika itu duduk di atas kerusi batu menghadap tasik Danau To' Uban.
Saya bertanya secara khusus tentang keperluan mengikuti mana-mana tareqat untuk memperkukuh hubungan spiritual dengan Allah.
Kebetulan saya dapat tahu bahawa guru saya juga merupakan pengamal tareqat, meskipun tidak dinyatakan secara terbuka tareqat apa yang diikuti.
Jawapan beliau ringkas je:
"Tareqat itu jalan menuju Tuhan. Bagi orang yang telah menghafal al-Qur’an, cukuplah jadikan al-Qur’an itu sendiri sebagai tareqat dan wirid harian.”
Beliau menambah:
"Utamakan solat fardhu di awal waktu, dan istiqamahlah membaca serta mengulang hafazan. Itu sudah mencukupi sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah."
Kesimpulan sebagai Motivasi
Jalan seorang penghafal al-Qur’an adalah jalan yang penuh dengan cahaya wahyu. Tidak perlu mencari tareqat yang lain jika al-Qur’an sendiri belum dijadikan tareqat.
Kerana dalam bacaan dan hafazan itu terdapat segala bentuk zikir, tazkiyah, muraqabah dan muhasabah yang diperlukan untuk membina jiwa yang bersih dan hati yang dekat dengan Allah SWT.
"Orang yang menghafal al-Qur’an tidak kekurangan wirid kerana seluruh wirid mereka telah terangkum dalam hafazan yang mereka jaga setiap hari."
Adakah anda mempunyai nasihat yang sama? Kongsikan diruangan komen.
Comments
Post a Comment