Wirid Harian: Hafazan Al-Qur’an Sahaja Tidak Mencukupi
Dalam kehidupan seorang Muslim, amalan wirid harian ibarat bekalan rohani yang menyokong kekuatan hati, minda, dan jiwa.
Hafazan al-Qur’an adalah amalan agung yang menjadi kemuliaan bagi penghafalnya. Namun, warisan para ulama’ juga menekankan kepentingan melengkapkan hafazan tersebut dengan wirid lain seperti selawat dan zikir ringan agar hati sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.
Kisah Bersama Syeikh Muneer
Saya pernah bertemu seorang guru dari Yaman. Pada ketika itu, saya mengajukan soalan:
“Mana yang perlu saya utamakan untuk dijadikan wirid harian, hafazan al-Qur’an atau selawat?”
Syeikh tersenyum dan menjawab ringkas tetapi padat:
“Kedua-duanya utama, dan kedua-duanya perlu dilakukan.”
Saya kemudian berkongsi dengan beliau bahawa wirid harian saya banyak tertumpu kepada al-Qur’an. Syeikh berkata,
“Al-Qur’an sebagai wirid itu sangat baik. Tapi, jangan tinggalkan selawat atau zikir-zikir ringan daripada Nabi ﷺ.”
Ujian dan Kesedaran
Pesanan itu berlalu begitu sahaja… sehinggalah saya mengalami kemalangan. Dalam keadaan panik dan gemuruh, minda saya cuba mencari-cari ayat al-Qur’an untuk dibaca. Namun, fikiran saya bertambah kusut dan tidak teratur.
Dalam kekalutan itu, isteri saya berbisik dengan lembut,
“Selawat banyak-banyak…”
Kata-kata itu membuat saya tersentak, lalu teringat kembali nasihat Syeikh tentang pentingnya selawat dan zikir ringan.
Saat itu saya sedar, hafazan al-Qur’an sahaja belum cukup untuk mengawal hati ketika kecemasan. Ada ketika, hati memerlukan “penawar segera” dan itu hadir dalam bentuk selawat dan zikir yang mudah diingati.
Apa yang Dapat Dipelajari?
Hafazan al-Qur’an adalah kemuliaan dan amanah besar. Namun, selawat dan zikir ringan adalah pelengkap yang memberi kekuatan emosi dan ketenangan hati, terutama ketika berdepan ujian secara tiba-tiba.
Amalan ini ibarat ‘simpanan kecemasan’ bagi jiwa, yang mudah dicapai walaupun fikiran sedang bercelaru.
Kesempurnaan wirid harian datang apabila kita memadukan al-Qur’an, selawat, dan zikir ringan sebagai bekal hidup menuju akhirat.
Kongsikan pengalaman anda diruangan komen
Comments
Post a Comment