Simpan Emas? Klik 👉🏻
Swipe untuk lagi →

Diari 72 Jam Terakhir : Sebuah Catatan Tentang Cinta, Al-Quran dan Perpisahan


Hari ini, 15 November 2025, barulah saya berpeluang duduk dan menulis catatan ini. 


Beberapa hari yang lalu penuh dengan kekalutan, antara urusan belajar yang tertangguh, perjalanan jauh dari Terengganu, dan kegelisahan hati menunggu berita tentang keadaan ayah yang semakin kritikal.


Ayah pergi menghadap Ilahi pada 12 November 2025, kira-kira jam 3 pagi. 


Namun bagi saya, setiap detik bermula daripada berita ayah dimaklumkan kritikal hinggalah nafasnya yang terakhir, semuanya masih segar dalam ingatan.


Catatan diari ini bukanlah sekadar meluah rasa atau mencatat kisah peribadi. Apa yang saya harapkan, ia menjadi nasihat dan inspirasi kepada anakanda tersayang, 


Wan Naelah Al-Rizqiyyah dan Wan Faqih Al-Fayyadh, serta sesiapa sahaja yang membacanya agar dapat mengambil manfaat daripada pengalaman ini.


BERITA AYAH KRITIKAL


Ayah dimasukkan ke Hospital Kusta Sungai Buloh sehari sebelum pemergiannya. Ketika itu saya masih berada di Terengganu. 


Setiap beberapa minit, saya membuka WhatsApp, membaca kemas kini daripada adik-beradik tentang keadaan ayah.


Apabila doktor maklumkan bahawa ayah berada dalam keadaan kritikal dan ahli keluarga dibenarkan masuk untuk melihatnya, semua orang mula bergerak dengan cemas dan kelam-kabut. 


Saya pula masih jauh di Terengganu dan tidak mampu melakukan apa-apa selain memecut pulang dengan hati yang berat.


AYAH MEMEJAM MATA RAPAT


Menurut ibu, dalam salah satu detik yang singkat, ayah tiba-tiba membuka mata sekejap, memandang adik bongsu saya. 


Ibu kata, seolah-olah ayah mahu mengucapkan terima kasih kerana menjaga dirinya. Selepas itu, ayah kembali memejamkan mata rapat dan tidak membukanya lagi.


Ramai datang menziarah, termasuk orang kampung, rakan-rakan ayah, dan kenalan ibu. Namun walau seberapa banyak panggilan dibuat, ayah tetap memejam mata. Nafasnya juga laju dan berat.


Kata kakak ipar, pada waktu malamnya, beliau memanggil ayah tetapi tiada respon. 


Abang ipar yang baru sampai dari Terengganu juga mengalami perkara sama. Ayah tetap terpejam dan nafasnya masih laju.


DETIK AYAH MEMANDANG SAYA


Apabila saya tiba, saya melihat ayah dengan hati yang sebak dan sedih tanpa memanggil. Kemudian saya duduk disisi ayah sambil membacakan yaasin dengan suara yang sebak dan tersekat. 


Tidak lama selepas saya mula membaca, ayah menolehkan kepalanya ke arah saya sedangkan sebelum itu, ayah tidak mampu menggerakkan kepala.


Kakak saya terus bagitahu,

“Wee (ayah) buka mata.”


Ayah memandang tepat kepada saya, lama dan sayu, seolah-olah itu pandangan terakhir yang ingin disampaikannya. Kemudian ayah kembali memejamkan mata. 


Saya mengusap kepalanya, dan saya terus menghabiskan bacaan Yaasin.


MENGHADIAHKAN BACAAN AL-QURAN UNTUK AYAH


Selepas Yaasin selesai, saya rasa tidak puas. Jadi saya sambung membaca al-Quran untuk diniatkan kepada ayah. 


Dari juzuk 1 hingga juzuk 10 tanpa henti : empat jam semuanya, dari jam 10:30 malam hingga 2:30 pagi.


Saya keluar sebentar untuk menenangkan diri, tetapi malam itu saya tidak mampu melelapkan mata. Walaupun letih memandu jauh, hati saya tidak senang. 


Jadi saya kembali membaca al-Quran untuk ayah : sambungan juzuk 11 hingga juzuk 15, dari jam 3.30 pagi sehingga 5:15 pagi.


Pagi esoknya, doktor memaklumkan ayah boleh dibawa pulang ke rumah. Selepas subuh barulah saya sempat tidur sekejap untuk berehat.


Pada waktu petang, saya menyambung bacaan dari juzuk 16 hingga 20. Tepat habis juzuk 20, rumah mula dipenuhi penziarah. Bacaan saya terhenti sementara.


Belah malamnya saya menyambung lagi dari juzuk 21 hingga 24 setengah. 


Saya berniat untuk menghabiskan 30 juzuk malam itu, tetapi abang bertanya tentang pengalaman saya semasa menjaga ayah di hospital terutamanya kisah misteri yang berlaku ketika itu.


Perbualan kami adik-beradik panjang dan saya pula sangat penat serta lapar. Saya berhenti seketika untuk makan dan berniat menyambung kemudian.


Namun saya tertidur kerana terlalu penat.


PEMERGIAN AYAH


Sekitar 10 minit sebelum jam 3 pagi, pernafasan ayah tiba-tiba terhenti. Ayah pergi menghadap Allah dalam keadaan tenang tetapi saya tidak sempat menghabiskan 30 juzuk seperti yang saya rancang.


Walau bagaimanapun, saya redha. Saya yakin Allah menilai usaha, niat, dan kasih yang saya usahakan untuk ayah.


PELAJARAN TENTANG AL-QURAN UNTUK DIRI SENDIRI


Sepanjang saya membaca al-Quran untuk ayah, saya terfikir dalam hati:


“Selama ni aku istiqamah membaca dua juzuk sehari. Aku dah biasa membaca dalam jumlah yang banyak."

 

"Inilah masanya aku menghadiahkan bacaan al-Quran kepada ayah dengan lidah sendiri sambil niat dari seorang anak, bukan hanya bergantung kepada rakaman qari.”

 

Dan daripada pengalaman inilah saya semakin yakin:

“Inilah sebab aku mahu anak-anakku menjadi penghafal al-Quran dan istiqamah menjadikan al-Quran sebagai wirid harian.”

 

Bacaan seseorang yang pernah menghafal al-Quran tidak sama dengan bacaan orang yang hanya membaca biasa, dari sudut kelancaran, bacaan bahkan masa yang diambil untuk menghabiskan bacaan.


Pengalaman ini mengingatkan saya betapa besar nikmat cinta kepada al-Quran, bukan hanya sebagai ibadah, tetapi sebagai bekal terakhir untuk insan tersayang.


Kesimpulan yang Saya Pelajari


1) Kasih sayang terakhir antara anak dan ayah kadang-kadang hadir dalam bentuk yang sangat halus : seperti pandangan mata yang tidak dapat diulang.


2) Al-Quran adalah hadiah paling berharga yang dapat diberikan kepada ibu bapa terutama pada saat-saat terakhir mereka.


3) Istiqamah membaca al-Quran memberi kekuatan rohani ketika menghadapi detik getir kehilangan orang tersayang.


4) Pengalaman ini menjadi pesanan untuk generasi seterusnya, bahawa hubungan dengan al-Quran adalah bekalan hidup dan mati.


Comments

Popular Posts