Simpan Emas? Klik 👉🏻
Swipe untuk lagi →

Jurnal Harian – Di Antara Lelah, Ibadah dan Rezeki


Tarikh: 28.12.2025

Tempat: Bisnes · Masjid · Dalam Perjalanan · Zus Coffee


Sebagai seorang usahawan Muslim, aku semakin memahami bahawa kejayaan bukan sekadar angka jualan atau keuntungan yang tercatat. Ia adalah kesanggupan untuk memikul amanah, walaupun tubuh penat dan mata hampir terlelap.


Tidur lewat hingga 5.15 pagi demi menyempurnakan urusan bisnes mengingatkan aku bahawa rezeki tidak datang tanpa usaha.


Namun, usaha itu tidak boleh memutuskan hubungan dengan Allah. Walau sesingkat mana waktu rehat, aku tetap bangun menunaikan solat Subuh, kerana di situlah aku belajar meletakkan keutamaan yang sebenar.


Pagi diteruskan dengan tanggungjawab keluarga dan perniagaan : hantar anak ke tuisyen, mengurus bekalan stok ke kedai.


Dalam kesibukan ini, aku sedar bahawa bisnes yang diberkati bermula daripada keluarga yang tidak terabai.


Keletihan memuncak, lalu aku memilih qailullah, sunnah yang sering dipandang remeh, tetapi besar hikmahnya. Selepas itu, solat Zohor berjemaah di masjid menjadi titik henti yang menyegarkan jiwa.


Di rumah Allah, aku belajar bahawa kejayaan sebenar bukan pada laju langkah, tetapi pada arah langkah.


Dalam perjalanan bisnes seterusnya, aku bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk menyempurnakan tilawah al-Quran satu juzuk, serta mengulang hafazan walaupun ketika memandu. Di situlah aku benar-benar mengerti:


Al-Quran bukan sebab kerja jadi perlahan, malah dialah yang buat hati lebih tenang dan kerja jadi lancar.


Ya, tubuh ni penat.

Ya, mata ni mengantuk.


Namun apabila aku menikmati secawan kopi panas, sekadar wasilah, Allah izinkan minda kembali segar. Idea mengalir, bukan kerana kopi semata-mata, tetapi kerana jiwa telah dipenuhi dengan zikir, doa dan kebergantungan kepada-Nya.


Sebagai usahawan Muslim, aku belajar satu hakikat besar:

“Rezeki bukan dicari dengan meninggalkan Allah, tetapi dicapai dengan mendahulukan-Nya”.


Penutup Refleksi

Jika hari ini terasa berat, ingatlah bahawa bisnes adalah medan ibadah dan setiap penat yang disertai niat kerana Allah tidak pernah sia-sia di sisi-Nya.


Terus melangkah dengan disiplin,

Terus berusaha dengan tawakal,

kerana kejayaan yang paling mahal adalah keberkatan.

Comments

Popular Posts