Bina Kekayaan, Hidupkan Agama : Alat Untuk Berkhidmat Kepada Islam
Dalam Islam, kekayaan bukanlah musuh kepada iman. Yang menjadi masalah bukan harta itu sendiri, tetapi cara kita memandang dan menggunakannya. Jika harta berada di tangan orang yang betul, ia boleh menjadi wasilah besar untuk menghidupkan agama dan memberi manfaat kepada manusia.
Analoginya seperti pisau, jika berada ditangan seorang chef, ia akan menjadi makanan yang sedap dan enak, jika berada ditangan pembunuh, ia akan menjadi pembunuhan. Begitu juga dengan harta dan kekayaan.
Islam tidak mengajar umatnya hidup miskin kerana malas, tetapi mengajar hidup sederhana, bekerja bersungguh-sungguh, dan berkongsi dengan ikhlas. Kekayaan hanyalah alat untuk agama bukan tujuan dunia semata-mata.
Kekayaan di Tangan Orang Beriman
Para sahabat Nabi ﷺ membuktikan bahawa seseorang boleh kaya dan tetap bertakwa.
Antara contoh yang masyhur ialah Abdul Rahman bin Auf رضي الله عنه. Beliau seorang pedagang yang sangat berjaya, namun kekayaannya tidak membuatkan beliau leka. Hartanya sentiasa mengalir untuk jihad, fakir miskin, dan kepentingan umat Islam. Kekayaan tidak mengikat hatinya, malah menjadi jalan pahala yang berterusan.
Begitu juga Uthman bin Affan رضي الله عنه, yang membeli Telaga Raumah untuk kegunaan umat Islam dan menyumbang besar dalam pembiayaan tentera Tabuk. Hartanya menjadi saksi cinta beliau kepada agama, bukan sekadar simpanan dunia.
Mereka tidak menunggu kaya untuk memberi, dan tidak takut miskin kerana memberi.
Harta Sebagai Amanah
Apabila kita memahami bahawa harta adalah amanah, cara hidup kita akan berubah. Kita bekerja bukan semata-mata untuk kemewahan, tetapi untuk:
- Menyokong keluarga dengan cara yang halal
- Membantu agama dan masyarakat
- Meringankan beban orang lain
Di sinilah kekayaan menjadi ibadah.
Kesimpulan: Jadilah Pemilik Harta, Bukan Hamba Harta
Bina kekayaan bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk merendahkan ego dan meninggikan agama. Jangan takut menjadi kaya, tetapi takutlah jika kemiskinan menjauhkan kita daripada Allah.
Jika niat betul, usaha halal, dan harta dimanfaatkan ke jalan kebaikan, kekayaan bukan alat ke neraka malah boleh menjadi jambatan ke syurga.
Kerana hakikatnya, kekayaan yang terbaik ialah yang menghidupkan agama dan menyuburkan jiwa.
Berikan pendapat anda tentang kekayaan ...
Comments
Post a Comment