Ujian Hidup : Proses Melatih Diri Menjadi Tenang dan Lebih Matang
Apabila usia semakin meningkat dan melangkah ke fasa 30-an, saya mula menyedari satu perkara penting dalam hidup saya iaitu keutamaan hidup ini sebenarnya bukan tentang sesiapa, tetapi tentang Tuhan.
Kesedaran ini tidak hadir secara tiba-tiba, sebaliknya lahir melalui ujian demi ujian yang pernah dilalui. Ujian hidup menjadi guru yang paling jujur dalam membentuk jiwa dan cara saya berfikir.
Ketika usia 20-an, darah muda masih panas. Ego tinggi, emosi mudah menguasai diri. Segala-galanya terasa ingin dimenangi, ingin dibuktikan.
Tapi, bila usia semakin bertambah dan semakin banyak ujian dihadapi, saya mula memahami bahawa kita hidup bukan untuk memuaskan manusia, tetapi untuk mencari keredhaan Tuhan.
Sebenarnya, inilah seni kehidupan yang tuhan tunjukkan melalui ujian.
Setiap kali diuji, saya belajar untuk bermuhasabah diri. Saya melatih diri untuk berbicara dengan jiwa sendiri, memujuk dan menenangkan hati.
Saya mendidik minda agar sentiasa bersangka baik dengan takdir Tuhan serta belajar untuk redha dengan apa sahaja aturan-Nya.
Redha bukan bermaksud menyerah tanpa usaha, tetapi menerima dengan hati yang tenang setelah berusaha sebaik mungkin.
Dalam perjalanan ini, saya juga banyak belajar melalui pemerhatian. Ada kalanya saya bertemu dengan pak cik dan mak cik yang sudah berusia.
Secara logiknya, usia sepatutnya melambangkan kematangan. Namun, tidak semua orang menjadikan ujian hidup sebagai latihan untuk memimpin diri dan memperbaiki sikap.
Ada yang masih terperangkap dengan emosi, ego dan cara berfikir yang sama sejak muda. Sikap sebegini bukan sahaja tidak mendewasakan diri, malah gagal menjadi teladan yang baik kepada anak-anak dan generasi seterusnya.
Daripada situasi yang terpampang di hadapan mata, saya sedar bahawa itu juga adalah satu bentuk pengajaran daripada Tuhan. Tuhan bukan sahaja mengajar kita melalui apa yang kita lalui, tetapi juga melalui apa yang kita lihat pada kehidupan orang lain.
Ujian hidup sebenarnya adalah peluang iaitu peluang untuk membentuk jiwa yang lebih tenang, hati yang lebih lapang dan akal yang lebih matang.
Pelajaran Yang Kita Dapat?
Ujian bukan tanda Tuhan membenci, tetapi cara Tuhan mendidik. Semakin kita diuji, semakin kita diberi peluang untuk mengenal diri dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Belajarlah menjadikan ujian sebagai latihan minda dan jiwa.
Kerana usia yang meningkat tanpa kematangan hanyalah angka, tetapi jiwa yang tenang hasil ujian adalah anugerah yang tidak ternilai.
"Teruskan belajar untuk redha, kerana di situlah letaknya ketenangan sebenar".
Apa pendapat anda? Kongsikan pendapat dan pengalaman anda diruangan komen.
Comments
Post a Comment