Mengawal Emosi Untuk Memimpin Diri
Seawal pagi, selepas selesai menunaikan solat Dhuha, saya keluar bersarapan roti canai dan secawan teh O sambil membaca buku.
Rutin harian saya hampir setiap pagi, namun cukup untuk menenangkan jiwa sebelum memulakan hari.
Kemudian, saya menuju ke ZUS Coffee iaitu tempat yang sudah menjadi rutin mingguan saya untuk menyelesaikan urusan bisnes.
Di hujung sudut kafe, ketika saya sedang fokus menyiapkan kerja, telefon saya berdering daripada nombor yang tidak dikenali.
Seperti kebiasaan, saya abaikan panggilan pertama daripada nombor tidak dikenali.
Bagi saya, jika benar-benar penting, pasti akan ada panggilan susulan.
Tambahan pula, dengan isu scammer yang semakin berleluasa, langkah berhati-hati adalah satu keperluan.
Tidak lama kemudian, satu mesej WhatsApp masuk.
Rupanya mesej tersebut daripada seorang Pegawai Trafik Batu Pahat : Tuan Inspektor Irsyad.
Selepas membaca mesej itu, saya terus menghubungi beliau semula.
Terkejut?
Ya. Sangat terkejut.
Rasa gementar mula menyelinap perlahan-lahan.
Trauma lama tentang kemalangan yang pernah berlaku dahulu kembali bermain di fikiran, satu peristiwa yang pernah membuatkan saya hampir berputus asa.
Namun, ketika itu satu perkara bermain kuat dalam fikiran saya: anak dan isteri.
Hati saya bermonolog,
“Aku ada amanah yang perlu dipertanggungjawabkan : keluarga.”
Itulah perasaan yang pernah saya lalui sebelum ini.
Cemas Itu Manusiawi
Dalam perbualan dengan Tuan Inspektor Irsyad, saya perasan nada beliau sangat lembut dan sopan.
Cara percakapan itu sedikit sebanyak menenangkan hati saya.
Namun, jantung tetap berdegup kencang apabila disebut tentang “penjara”.
Bergetar?
Ya. Tetapi saya cuba tenangkan diri.
Selesai perbualan, saya menarik nafas panjang, menghirup kopi, dan ke tandas seketika untuk sekadar memberi ruang kepada diri untuk kembali stabil.
Selepas itu, saya duduk semula di tempat kerja dan menghubungi ibu serta isteri untuk memaklumkan perkara yang berlaku.
Di situlah fikiran mula bercelaru.
Antara kerja yang perlu disiapkan dan urusan mahkamah yang bermain di kepala, semuanya bercampur-baur.
Kembali Kepada Apa Yang Boleh Dikawal
Dalam kekusutan itu, saya bertanya kepada chat GPT tentang apa yang boleh saya lakukan untuk kekal tenang.
Jawapannya cukup membantu.
Apa yang saya lakukan selepas itu?
Saya lepaskan dahulu perkara yang belum tentu berlaku. Saya kembali bekerja. Saya siapkan apa yang termampu.
Kemudian, saya ke masjid untuk menunaikan solat dan mengulang hafazan al-Quran setengah juzuk dengan tenang.
Agak tidak percaya juga saya boleh membaca hafazan dengan tenang dan lancar walaupun semasa tu emosi saya agak tidak stabil.
Seterusnya saya bersambung dengan solat asar berjemaah. Selesai solat, saya berwirid.
Hati saya bermuhasabah:
“Istighfar banyak-banyak. Istighfar itu pembuka jalan. Redha dengan taqdir. Pasti ada kebaikan, insyaaAllah. Tiada siapa meminta perkara ini berlaku, dan tidak akan berlaku tanpa izin Allah.”
Alhamdulillah, hati saya semakin tenang walaupun emosi masih belum sepenuhnya stabil.
Emosi dan Kepimpinan
Saya sedar, masalah utama ketika itu bukanlah situasi, tetapi emosi.
Maka saya cuba “memujuk” minda sendiri.
Saya berbicara dengan diri sendiri tentang emosi dan kepimpinan.
Sejak dahulu, saya percaya bahawa keupayaan mengurus emosi adalah antara ciri utama seorang pemimpin.
Dan kenapa isu leadership ini sangat memberi kesan kepada saya?
Kerana:
- Saya adalah pemimpin kepada diri sendiri.
- Saya adalah suami kepada isteri.
- Saya adalah bapa kepada anak-anak.
Maka, saya perlu mempunyai sifat leadership yang mampu memimpin.
Sebagai pemimpin, saya perlu mengurus emosi dengan baik dan bersikap matang walau apa pun keadaan.
Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi sebagai contoh kepada isteri, anak-anak, dan orang sekeliling.
Jika saya gagal mengawal emosi, maka saya belum layak memimpin.
Tenang Itu Kekuatan
Ujian tidak pernah meminta izin untuk hadir. Tiada notifikasi yang keluar untuk menerima ujian.
Namun ketenangan adalah pilihan yang boleh dilatih.
Mengurus emosi bukan tanda kelemahan.
Ia adalah tanda kematangan dan kepimpinan.
Redha bukan bermakna menyerah kalah, tetapi percaya bahawa di sebalik setiap ujian, ada hikmah yang sedang Allah susun dengan penuh kasih sayang.
Leadership bermula dari dalam diri. Dan ketenangan adalah kekuatan sebenar seorang pemimpin.
Comments
Post a Comment