Simpan Emas? Klik 👉🏻
Swipe untuk lagi →

Al-Quran Itu Penting, Tapi Takbiratul Ihram Lebih Utama


Diceritakan seorang kenalan saya, semasa dia belajar STAM dulu, ada seorang kawan dia ni istiqomah bangun awal pagi sebelum subuh.


Rutin pagi dia, sekitar jam 5 pagi dia sudah bangun. Sebelum jam 5.30 pagi, dia sudah berada di masjid untuk beriktikaf dan membaca al-Quran. 


Rutin ini bukan sekali-sekala, tetapi hampir setiap hari. Sungguh satu amalan yang patut dicontohi.


Cumanya, ada satu perkara yang sering berlaku. Setiap kali solat Subuh berjemaah, dia selalu masuk saf dan bertakbiratul ihram ketika imam sudah hampir rukuk dalam rakaat pertama. 


Maksudnya, dia tidak bersama imam dari awal solat kerana masih membaca al-Quran.


Pada zahirnya, dia sudah berada di masjid awal. Dia beriktikaf. Dia membaca al-Quran. Tetapi dia kurang memberi perhatian kepada keutamaan takbiratul ihram bersama imam.


Ujian Dalam Peperiksaan


Apabila tiba imtihan madah tahriri al-Quran, Allah uji dia dengan sesuatu yang tidak disangka. Banyak ayat yang sepatutnya dia ingat, tiba-tiba hilang daripada ingatan. 


Dia menjawab dalam keadaan tidak yakin. Akhirnya, dia keluar dari dewan peperiksaan dengan tangisan.


Keputusan yang diterima pula memang tidak memuaskan. Tidak rosib, tetapi jauh daripada jangkaan. Dia terpaksa mengulang semula kertas al-Quran tersebut.


Selepas keputusan diumumkan, berlaku satu peristiwa yang agak mengejutkan. Imam masjid tempat mereka solat tiba-tiba bertanya tentang keputusan peperiksaannya.


Bukan keputusan kenalan saya, tetapi keputusan kawannya itu. Padahal kawannya tidak rapat pun dengan imam tersebut.


Teguran Seorang Imam


Apabila ditanya kenapa imam boleh menjangka keputusan itu tidak begitu baik, imam menjelaskan bahawa beliau sudah lama memerhati rutin kawannya itu.


Kata imam, setiap kali beliau terlambat datang Subuh, beliau sering nampak kawannya itu baru bangun masuk saf ketika imam hampir rukuk rakaat pertama. Sedangkan dia sudah berada di masjid lebih awal.


Nasihat imam yang penuh hikmah :


“Sepatutnya dia mengutamakan takbiratul ihram bersama imam, bukan meneruskan bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran boleh disambung selepas solat.

 

Dalam hadis, Nabi Muhammad SAW menganjurkan agar kita menyegerakan tiga perkara, antaranya solat apabila telah masuk waktunya. Ini menunjukkan bahawa dalam beribadah, bukan sekadar buat perkara baik, tetapi mesti tahu mana yang lebih utama”.

 

Muhasabah Diri


Kisah ini membuatkan saya berfikir dan bermuhasabah.


Seorang pelajar yang istiqamah bangun awal setiap hari, beriktikaf dan membaca al-Quran sebelum Subuh pun diuji hanya kerana tidak mengutamakan satu perkara yang lebih utama iaitu takbiratul ihram bersama imam.


Bagaimana pula dengan kita?


Ada yang bukan sahaja tidak sempat takbiratul ihram, malah Subuh berjemaah pun jarang. Ada yang bangun ketika matahari sudah tinggi. 


Ada yang menangguhkan sehingga hampir habis waktu, atau terpaksa qadha. Dalam bahasa mudah, ada yang sampai “Subuh gajah”.


Jika orang yang rajin dan istiqamah pun diuji kerana kurang meneliti keutamaan, apatah lagi kita yang sering culas dan lalai.


Pengajaran Besar: Fiqh Keutamaan


Kisah ini mengajar kita satu perkara penting dalam kehidupan beragama: bukan semua amalan itu sama dari sudut keutamaannya. Dalam Islam, ada konsep awlawiyyat : mendahulukan yang lebih utama.


Membaca al-Quran itu mulia. Beriktikaf itu amalan yang baik. Tetapi menjaga solat berjemaah dari awal bersama imam lebih utama apabila kedua-duanya bertembung pada waktu yang sama.


Kadang-kadang kita sibuk dengan amalan sunat, tetapi terlepas perkara yang lebih besar nilainya. Kita rasa sudah buat banyak kebaikan, tetapi mungkin ada keutamaan yang kita abaikan.


Kesimpulan: Susun Keutamaan, Jaga Solat


Sebagai penutup, marilah kita ambil kisah ini sebagai peringatan buat diri sendiri.


Istiqamah itu sangat penting. Namun, istiqamah sahaja tidak cukup jika kita tidak menyusun keutamaan dengan betul. Dahulukan yang wajib dan yang lebih utama, kemudian barulah yang lain.


Jaga solat di awal waktu. Usahakan takbiratul ihram bersama imam. Jangan ambil mudah perkara yang kelihatan kecil, kerana kadang-kadang di situlah terletak keberkatan.


Semoga kita bukan sekadar rajin beramal, tetapi juga bijak menyusun amalan. Kerana dalam hidup ini, bukan hanya banyaknya amalan yang dinilai, tetapi juga kefahaman dan keikhlasan dalam melaksanakannya.

Comments

Popular Posts