Simpan Emas? Klik πŸ‘‰πŸ»
Swipe untuk lagi →

Dari PS2 ke Buku: Kisah Permulaan Saya Minat Membaca


“Belajar?”

“Apa tu?”


Boleh fahamkan skrip diatas. Hahaha


Kalau nak tahu, itulah saya dulu sebelum masuk usia 15 tahun.


Zaman kanak-kanak saya sangat simple.

Bangun pagi, main bola. Tengah hari panas terik, bola. Petang, bola. Malam pula, main game PS2. Itu sahaja rutin saya.


Belajar? Memang tak minat.


Ketika kawan-kawan lain sibuk mengulang kaji untuk peperiksaan UPSR dan PSRA, saya pula masih setia dengan bola dan PS2. Membaca apatah lagi, memang jauh sekali.


Sampailah satu peristiwa yang saya masih ingat sampai hari ini.


Ketika itu rumah kami tingkat atas sedang diubah suai, dan saya menumpang bilik abang saya buat sementara waktu.


Bilik abang saya sangat berbeza, setiap penjuru dipenuhi buku dan kitab. Rak buku penuh, tepi tilam pun bertimbun buku.


Tujuan asal saya menumpang bilik itu bukan untuk membaca, tapi untuk main PS2.


Namun satu hari, ketika PS2 sedang loading, mata saya melilau melihat sekeliling.


Kitab-kitab tersusun, buku-buku yang banyak dan rapat. Tanpa dirancang, tangan saya capai sebuah buku dan mula membaca.


Buku apa saya sudah lupa, tapi situasi tu masih saya ingat.


Sejak hari itu, saya mula rasa minat membaca.


Saya juga mula perasan satu perkara, abang saya sentiasa membawa buku ke mana-mana.


Lepak mamak seorang diri tengah malam sambil membaca, kadang-kadang sampai pukul 2 hingga 4 pagi.


Saya tengok, saya tiru.


Pernah satu ketika, saya duduk di kedai mamak membaca buku hampir 4 jam tanpa henti.


Masa tu saya rasa seperti berada di alam yang berbeza. Tenang dan penuh fokus walaupun sekeliling agak huru hara dengan pelanggan di kedai mamak.


Selepas berkahwin, minat membaca itu masih ada dan kekal. Cuma masa membaca tidak lagi sama seperti zaman bujang kerana perlu membahagikan masa bersama isteri.


Kemudian kami sering berpindah-randah. Akhirnya buku-buku yang sebelum ini tersusun rapi di atas rak dibiarkan dalam kotak.


Alasannya sebab malas nak susun kerana kerap berpindah.


Tanpa saya sedari, sejak buku-buku itu tersimpan dalam kotak, minat membaca saya mula menurun.


Saya jadi malas membaca, malah boleh dikatakan hampir tidak membaca langsung.


Sehinggalah satu hari, ketika berpindah lagi, saya rasa tak sedap mata memandang rumah tanpa rak buku.


Walaupun tak baca, sekadar melihat buku pun sudah memberi rasa yang berbeza.


Lalu saya gagahkan diri menyusun semula semua buku di atas rak.


Dan kesannya sangat ketara.


Saya kembali seperti awal dulu iaitu kerap memandang rak buku, kemudian secara spontan tangan mencapai satu buku untuk dibaca. Seolah-olah buku-buku itu memanggil.


Sejak itu barulah saya benar-benar faham kenapa tokoh seperti Imam Hasan Al-Banna dan penulis Tarbiyatul Aulad, Sheikh Dr. Abdullah Nashih Ulwan, sangat menekankan kepentingan menyediakan perpustakaan mini di rumah.


Buku-buku yang tersusun di atas rak bukan sekadar hiasan, tetapi menjadi magnet yang mengajak kita membaca.


Lebih menarik, kesannya bukan hanya pada saya, anak saya juga mula menunjukkan minat yang luar biasa terhadap buku, walaupun dia belum pandai membaca dengan baik.


Ke mana sahaja pergi, buku sentiasa di tangan. Balik kampung, bawa buku. Jalan-jalan, bawa buku.


Kadang-kadang minatnya lebih hebat daripada saya sendiri.


Kesimpulan (Nasihat & Motivasi)


Minat membaca tidak lahir secara paksa, tetapi melalui persekitaran.


Jika kita mahu diri dan anak-anak mencintai ilmu, mulakan dengan perkara paling mudah iaitu biarkan buku hidup di dalam rumah, bukan tersimpan dalam kotak.


Tak perlu perpustakaan besar. Cukup satu rak kecil yang penuh dengan buku.


Kerana kadang-kadang, satu pandangan mata dan satu capai tangan sudah cukup untuk seseorang minat membaca.

Comments

Popular Posts