Simpan Emas? Klik 👉🏻
Swipe untuk lagi →

Nasihat Lama, Kembali Tiba : Pelaburan Jangka Panjang Untuk Jiwa


📌 RINGKASAN EKSEKUTIF

Dalam hidup, ujian pasti datang : ada yang ringan, ada yang sangat berat.

Kita memerlukan nasihat, tetapi tidak semua nasihat digunakan serta-merta. Ada yang Allah simpan dalam ingatan, lalu dihadirkan kembali tepat pada saat kita memerlukannya.

Seperti nasihat: jangan overthinking, perbanyakkan istighfar. Saat diuji, itulah yang menenangkan dan membuka jalan.

Overthinking menambah beban, tetapi istighfar mengembalikan kita kepada Allah dan mengajar tawakal.

Akhirnya, nasihat adalah pelaburan jiwa yang menjadi cahaya saat hidup terasa gelap.

Dalam kehidupan, kita tidak pernah sunyi daripada ujian. 


Ada kalanya ujian itu ringan, ada masanya ia terasa sangat berat hingga menyesakkan dada. Kan?


Justeru, kita sangat memerlukan nasihat samada melalui pembacaan, pendengaran, atau tadabbur al-Quran.


Tapi kan, bukan semua nasihat perlu digunakan serta-merta. Ada nasihat yang kita simpan lama dalam ingatan, namun Allah hadirkan ia kembali pada saat yang paling tepat iaitu ketika kita benar-benar memerlukannya.


Nasihat yang Datang Tepat Pada Waktunya


Berdasarkan pengalaman peribadi saya, pernah suatu ketika saya membaca satu petikan nasihat yang berbunyi lebih kurang :


“Ketika ditimpa masalah, jangan terus berfikir berlebihan (overthinking). Perbanyakkan istighfar, insyaaAllah Tuhan akan bukakan jalan.”


Petikan nasihat ini saya baca ketika usia sekitar belasan tahun, tapi dia tiba dalam ingatan ketika saya berumur hampir 30an. Dia tiba tepat pada masanya.


Lagipun semasa saya membaca nasihat itu, saya sekadar memahami secara teori. 


Namun, apabila diuji dengan satu ujian yang berat, fikiran buntu, hati serabut, dan emosi tidak stabil, nasihat itulah yang Allah hadirkan kembali dalam ingatan saya.


Pada ketika itu, saya berhenti seketika, menenangkan diri, mencapai biji tasbih dan mula memperbanyakkan istighfar.


Mengapa Overthinking Bukan Solusi?


Dalam perspektif Islam, kerisauan berlebihan sering berpunca daripada terlalu bergantung kepada kemampuan diri sendiri. 


Sedangkan istighfar mengalihkan fokus kita daripada masalah kepada Pemberi Solusi, iaitu Allah SWT.


Berfikir tanpa henti tanpa sandaran spiritual sering hanya menambah kecemasan. Istighfar pula mengajar kita tawakal, tanpa meninggalkan usaha.


Nasihat : Pelaburan Jangka Panjang Untuk Jiwa


Rajin membaca dan mendengar nasihat adalah pelaburan jangka panjang untuk jiwa. 


Mungkin hari ini kita belum memerlukannya, tetapi suatu hari nanti di saat fikiran kita buntu, celaru, serabut bahkan hidup terasa sangat gelap, nasihat itulah yang akan menjadi cahaya.


Semoga kita semua tergolong dalam hamba-hamba yang rajin mengambil nasihat, dan lebih rajin lagi mengamalkannya ketika diuji. InsyaaAllah.

Comments

Popular Posts