Simpan Emas? Klik 👉🏻
Swipe untuk lagi →

Impian Menjadi Digital Nomad: Bekerja Dengan Sistem, Bukan Terikat Dengan Masa

📌 RINGKASAN EKSEKUTIF
Impian menjadi digital nomad bagi saya bukan sekadar bekerja dari mana-mana tempat, tetapi membina kehidupan yang tidak terlalu terikat kepada masa untuk menjana pendapatan. Pendekatan yang sedang saya usahakan ialah membina beberapa sumber pendapatan dan aset melalui hartanah yang disewakan, simpanan emas fizikal yang dikumpul secara konsisten sebelum ditukar kepada hartanah pada peluang yang sesuai, serta perniagaan yang mempunyai sistem. Matlamatnya adalah supaya aset dan sistem terus bekerja menjana pendapatan, manakala peranan saya lebih kepada menyusun, mengurus dan memantau.

Pada akhirnya, kebebasan masa ini bukan semata-mata untuk bekerja lebih sedikit atau mengejar pendapatan yang lebih besar. Impian saya adalah mempunyai masa yang lebih luas untuk sambung belajar, mendalami ilmu agama, mengajar dan menyebarkan ilmu, serta memperuntukkan masa untuk berzikir dan bermunajat. Saya mahu membina sistem kehidupan yang membolehkan saya mencari rezeki sambil mempunyai ruang untuk perkara yang lebih bermakna. Itulah kehidupan yang sedang saya usahakan — sedikit demi sedikit, satu demi satu. Semoga Allah permudahkan.

 

Work nomad atau lebih dikenali sebagai digital nomad — bagi saya, ia adalah satu keadaan di mana kita boleh bekerja di mana-mana sahaja dan pada masa yang sama, dari mana-mana tempat pun kita boleh bekerja.

Tujuan hanyalah menjana pendapatan, bukan sekadar menghabiskan masa.

Tetapi bagi saya, menjana pendapatan bukan sekadar menetapkan target income bulanan. Saya mula berfikir lebih jauh.

Kalau boleh, bukan sekadar pendapatan bulanan. Tetapi pendapatan harian. Bahkan kalau boleh, kita tahu purata pendapatan yang dijana mengikut jam, malah minit.

Bukan kerana terlalu mengejar wang, tetapi kerana saya mahu membina satu sistem kehidupan yang memberi lebih banyak kebebasan masa.

Kaedah Yang Saya Belajar Dan Sedang Laksanakan

Antara kaedah yang saya belajar dan menarik minat saya, bahkan sedang saya usahakan sekarang ialah:

1. Hartanah yang boleh disewakan.

Satu aset yang boleh menjana pendapatan melalui sewaan. Kita miliki aset, kemudian aset tersebut bekerja menghasilkan pendapatan melalui sewaan.

2. Simpanan Emas Fizikal

Setiap bulan, saya konsisten membeli emas, kemudian menyimpan dan membiarkannya dalam tempoh jangka panjang.

Contohnya, dalam tempoh 2–3 tahun, apabila harga emas meningkat dan terdapat peluang yang sesuai, saya akan mencari hartanah subsale yang boleh dibeli di bawah harga pasaran.

Kemudian, emas tersebut boleh dijual dan hasilnya digunakan untuk membeli hartanah.

Hartanah itu pula bukan sekadar untuk dimiliki, tetapi dijadikan aset yang menjana pendapatan melalui sewaan, seperti yang saya sebutkan dalam poin pertama tadi.

3. Perniagaan yang bersistem.

Perniagaan yang mempunyai sistem.

Sistem yang bekerja untuk menjana pendapatan, manakala tugas kita lebih kepada menyusun, mengurus dan memantau sahaja.

Bukan bermaksud kita langsung tidak bekerja, tetapi kerja kita berubah.

Daripada kita yang melakukan semuanya, kepada kita yang membina dan mengurus sistem supaya kerja boleh berjalan walaupun kita tidak berada di situ sepanjang masa.

Kenapa Saya Mahu Membina Kehidupan Begini?

Pada awalnya, tujuan saya hanyalah sambung belajar.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mahu mempunyai pekerjaan yang fleksibel dari segi masa dan tempat, dengan pendapatan yang masih boleh masuk kerana wujud sistem yang sedang bekerja di belakang tabir.

Saya tidak mahu apabila saya sambung belajar, pendapatan terus terhenti.

Saya mahu belajar, tetapi pada masa yang sama pendapatan kekal berjalan.

Sebab itu saya mula belajar tentang aset, sistem dan bagaimana membina sumber pendapatan yang tidak sepenuhnya bergantung kepada masa saya.

Saya Selalu Berangan Dan Berimpian

Saya selalu berangan, saya selalu berimpian.

Dan sekarang, saya bukan sekadar berangan dan berimpian.

Bahkan saya sedang bertindak dan melakukannya.

Antara impian yang saya sedang usahakan ialah:

1. Menjadi Digital Nomad

Saya mahu berada dalam keadaan di mana saya boleh memantau dan menyusun beberapa kerja.

Kemudian, biarkan sistem bekerja untuk saya.

Saya tidak perlu sentiasa berada di satu tempat untuk memastikan semuanya berjalan.

Saya hanya perlu menyusun, memantau dan memperbaiki apa yang perlu.

2. Ada Masa Untuk Menuntut Ilmu Agama

Saya mahu mempunyai masa yang lebih luas untuk menuntut dan mendalami ilmu agama.

Bukan belajar sekadar apabila ada masa lapang, tetapi mempunyai masa khas untuk belajar.

Kerana bagi saya, ilmu agama bukan sesuatu yang patut diletakkan di baki masa yang ada.

3. Diberikan Kefahaman Ilmu Dan Dapat Mengajarkannya

Saya juga berimpian untuk direzekikan kefahaman ilmu.

Bukan sekadar tahu untuk diri sendiri, tetapi dapat mengajar dan menyebarkan ilmu kepada orang lain.

Dan menariknya, apabila kita mengajar, ia secara tidak langsung menjadi satu rutin untuk kita murajaah semula apa yang telah dipelajari.

Belajar. Faham. Kemudian ajarkan semula.

Daripada situ, kita ulang kembali ilmu tersebut.

Mudah-mudahan ilmu bukan sekadar singgah di kepala, tetapi benar-benar melekat dan memberi manfaat.

4. Ada Masa Khas Untuk Berzikir Dan Bermunajat

Dan yang paling saya harapkan, saya mahu mempunyai masa khas untuk berzikir dan bermunajat.

Ada masa untuk berhenti seketika daripada kesibukan dunia.

Ada masa untuk duduk, mengingati Allah dan bermunajat.

Kerana akhirnya, sebanyak mana pun pendapatan yang kita mahu jana, sebanyak mana pun sistem yang kita bina dan sebebas mana pun masa yang kita impikan…

tujuan hidup tetap lebih besar daripada sekadar mencari pendapatan.

Saya mahu membina sistem supaya saya mempunyai masa.

Dan saya mahu masa itu digunakan untuk sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup saya.

Itulah antara kehidupan yang saya sedang impikan.

Bukan sekadar mahu bebas bekerja di mana-mana, tetapi mahu bebas menggunakan masa untuk menuntut ilmu, mengajar, beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah.

Dan sekarang, saya sedang cuba bergerak ke arah itu.

Sedikit demi sedikit. Satu demi satu.

Semoga Allah permudahkan.

Comments

Popular Posts