Simpan Emas? Klik 👉🏻
Swipe untuk lagi →

“Untung Hang Noh…” — Nasihat Seorang Pak Cik yang Menggoncang Hati Saya Tentang al-Qur’an


Sejak mula menghafal al-Qur’an, ketika hafazan saya masih jauh daripada menamatkan 30 juzuk, saya dah niat :

“Aku nak istiqomah bersama al-Qur’an hingga ke akhir hayat.”

 

Niat itu bukan sekadar lafaz. Sejak umur 15 tahun, saya berusaha menjaganya dengan amalan. Setiap hari, tanpa tinggal, saya menunaikan solat hajat dan berdoa agar Allah mengurniakan saya istiqomah bersama al-Qur’an.


Seminggu sebelum khatam hafazan 30 juzuk, saya mula mengambil langkah awal untuk menunaikan niat dan doa yang telah lama dipendam. Saya bermula dengan membaca 2 juzuk sehari.


Beberapa tahun kemudian, saya menurunkannya kepada 1 juzuk sehari, dan ada kisah di sebalik perubahan itu yang saya kongsikan dalam penulisan ini > Dari 2 Juzuk Kepada 1 Juzuk. Kenapa? <


Setelah selesai menghafal 30 juzuk, saya pulang ke kampung halaman. Setiap hari, selepas solat, saya akan duduk membaca al-Qur’an di tepi dinding surau.


Pada suatu hari, seorang pak cik bilal yang menjadi jemaah tetap surau, kami memanggilnya Cik Din, menyapa saya:

“Hang nampak noh tulisan (al-Qur’an) tu?”

 

Ketika itu, saya menggunakan al-Qur’an bersaiz kecil. Dulu, al-Qur’an itu sentiasa saya bawa ke mana-mana. Sekarang, saya hanya menggunakannya ketika membaca di rumah je, kerana lebih berhati-hati menjaga adab terhadap al-Qur’an. Jika bermusafir, saya biasanya menggunakan al-Qur’an digital di telefon sahaja.


Belum sempat saya menjawab sapaan Cik Din, datang pula Cik Hamzah, imam surau di penempatan kami. Beliau terus menyampuk sambil berkata:

“Dia bukan tengok sangat pun al-Qur’an tu, dia ingat dah. Al-Qur’an tu buat syarat ja.”


Cik Din membalas ringkas,

“Ouh, lagu tu.”


Namun selepas itu, Cik Din menyambung dengan kata-kata yang membuatkan saya terdiam, bermuhasabah, dan benar-benar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan.


Dengan nada yang penuh kejujuran, beliau berkata lebih kurang:

“Untung hang noh… kecik-kecik dah pandai baca al-Qur’an, siap hapai lagi.

Cik Din ni dah tak nampak dah. Mata dah tua.

Teringin nak baca al-Qur’an dengan sempurna.

Muda-muda dulu duk sibuk dengan kerja dunia ja.

Sekarang baru nak cari… baru nak belajaq.”


Kata-kata itu menikam hati saya.


Ia menyedarkan saya bahawa keupayaan membaca dan menghafal al-Qur’an bukan hasil usaha semata-mata, tetapi nikmat besar yang perlu disyukuri dan dijaga.


Ramai yang hanya menyedari nilai al-Qur’an apabila usia semakin senja, ketika mata semakin kabur dan tenaga semakin lemah. Sedangkan kita yang masih muda, masih mampu membaca dan menghafal, seringkali alpa dan menangguhkan.


Bukan sekadar muda, bahkan yang dah menghafal pun selalu alpa.


Semoga Allah memelihara hubungan kita dengan al-Qur’an, bukan sekadar ketika muda, bukan sekadar ketika ada masa, tetapi hingga ke akhir hayat kita

Comments

Popular Posts