Jangan Cepat Menghukum: Akhlak Anak Orang Kaya yang Saya Saksikan Sendiri
Dalam masyarakat kita, sering wujud satu persepsi negatif terhadap orang kaya. Ada yang beranggapan mereka sombong, pentingkan diri, atau anak-anak mereka terlalu dimanjakan.
Persepsi ini pula kadang-kadang dipengaruhi oleh gambaran dalam drama dan televisyen yang sering memaparkan watak orang kaya dengan sikap yang kurang menyenangkan.
Rutin Hujung Minggu di Kafe
Menjadi rutin mingguan saya setiap hujung minggu untuk ke kafe ZUS Coffee bagi menyiapkan urusan bisnes dan tugasan pengajian universiti.
Kadang-kadang saya juga mengambil kesempatan untuk menulis artikel yang akan saya terbitkan di blog peribadi.
Pada suatu hari, saya terserempak dengan sebuah keluarga yang saya kenali. Mereka ini memang dikenali sebagai orang yang sangat berjaya dalam perniagaan.
Saya dimaklumkan bahawa perniagaan mereka memerlukan modal sekurang-kurangnya RM100,000 hingga RM200,000 dalam akaun untuk terus beroperasi.
Lebih menarik, perniagaan tersebut diusahakan bersama oleh pasangan suami isteri ini sejak sebelum mereka berkahwin lagi.
Satu Situasi yang Membuka Mata
Ketika saya masuk ke kafe, pasangan tersebut sedang berbual. Anak mereka pula sedang leka bermain telefon pintar, yang pada pandangan saya adalah iPhone model terbaru : iphone 17 Pro Max.
Saya mendekati mereka untuk menyapa. Apa yang berlaku mengejutkan saya.
Si ayah dengan tenang meminta anaknya meletakkan telefon di atas meja dan berhenti bermain. Tiada nada marah, tiada tengkingan. Arahan itu jelas, tegas dan berwibawa.
Apa yang lebih mengagumkan, anak tersebut terus meletakkan telefonnya dan tidak lagi menyentuhnya sepanjang kami berbual. Dia duduk diam dan mendengar dengan sopan perbualan orang dewasa.
Bagi sesetengah orang, mungkin ini perkara biasa. Namun dalam realiti hari ini, apabila ramai kanak-kanak terlalu bergantung kepada gajet dan sukar berenggang daripadanya walaupun seketika, sikap seperti ini sebenarnya sangat luar biasa.
Akhlak Tidak Ditentukan oleh Status
Pengalaman ini membuatkan saya berfikir. Selama ini, ada yang beranggapan anak orang kaya biasanya dimanjakan dan kurang berdisiplin. Tetapi apa yang saya lihat membuktikan sebaliknya.
Saya juga pernah berada dalam situasi yang hampir sama bersama keluarga yang bukan daripada golongan berada, atau dikategorikan sebagai B40.
Namun dalam situasi tersebut, anak-anak masih bermain telefon tanpa ditegur, malah ada yang sukar dikawal walaupun di tempat awam.
Di sini saya sedar, akhlak dan adab bukanlah soal kaya atau miskin. Ia soal didikan.
Orang kaya mampu membelikan anak mereka telefon mahal, tetapi dalam masa yang sama mereka tetap tegas tentang adab dan batas penggunaan. Itu yang membezakan antara memanjakan dan mendidik.
Didikan Adalah Pelaburan Generasi
Kekayaan sebenar bukan sekadar pada angka dalam akaun bank, tetapi pada nilai yang ditanam dalam diri anak-anak.
Ibu bapa yang berjaya bukan hanya kerana perniagaan mereka berkembang, tetapi kerana mereka berjaya membentuk akhlak anak-anak.
Gajet boleh dibeli. Kemewahan boleh dicapai. Tetapi adab perlu diajar dan dilatih setiap hari.
Kesimpulan: Jangan Nilai Luaran Semata-Mata
Jangan terlalu cepat menghukum berdasarkan status atau persepsi umum. Tidak semua orang kaya itu sombong, dan tidak semua yang kurang berada itu lebih beradab.
Segalanya kembali kepada didikan dan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
Sebagai ibu bapa atau bakal ibu bapa, fokuslah kepada membentuk akhlak anak-anak. Kerana pada akhirnya, masyarakat tidak akan bertanya berapa harga telefon yang mereka pegang, tetapi bagaimana sikap dan adab yang mereka bawa dalam kehidupan.
Akhlak adalah warisan paling berharga yang boleh kita tinggalkan.
Apa pendapat anda? Kongsikan diruangan komen dibawah ....
Menarik pengalaman ni, terharu bila baca. Boleh dijadikan contoh.
ReplyDelete